Bila masuk sahaja bulan Syawal, maka banyaklah undangan rumah terbuka yang diterima. Kalau dipenuhi semua undangan yang diterima, mahu setiap hujung minggu dapur mama tak berasap.

Tetapi ada ketikanya hati mama terdetik...nak pergi ke tak rumah dia tu?  Macam malas je lah pula.  ish ish ish....Setan ni...nak cucuk jarum je kerja kamu ya:(

Ada ketikanya pula hati mama berdetik...dia tak jemput pun ke rumah dia tapi nak jugalah pergi....


Kenapa mama suka pergi ke rumah terbuka sesiapa sahaja?

Pertama, kerana memenuhi tuntutan agama. Kita dituntut untuk mengeratkan silaturrahim sesama kita. Mama dapat berjumpa dengan mereka yang dah lama mama tak jumpa. Ada juga yang mama hanya dapat berjumpa sewaktu hari raya atau sewaktu kenduri kendara. Masa inilah baru tau rupa-rupanya dah bertambah ahli keluarga baru . Selain itu, mama juga dapat kenalan baru apabila berjumpa tetamu-tetamu lain yang turut berhari raya di rumah itu. Boleh juga bertukar-tukar fikiran dan pendapat.

Kedua, kerana ia satu cara untuk dimurahkan rezeki. Dari apa yang mama faham, melalui amalan kunjung-mengunjungi sesama saudara, selain dapat mengeratkan silaturrahim, ia juga satu cara untuk dimurahkan rezeki oleh Allah Ta'ala.Tetamu yang datang membawa bersama rahmat dan rezeki ke rumah yang dikunjungi.

Ketiga,  mama dapat makan makanan yang sedap-sedap. Pelbagai menu dan jenis masakan dan juadah dapat dirasa dan dinikmati sehingga  kenyang perut dan suka hati. Belum lagi dengan hidangan kuih muih dan kek dan biskut raya. Pelbagai bentuk, pelbagai rasa, pelbagai warna, pelbagai jenis dan pelbagai gaya. Semuanya enak dan lazat.  Balik rumah, buka pintu dan dah boleh terus tidur.



Kenapa ada juga rumah terbuka yang mama berat hati nak pergi?

Pertama, kerana ada urusan lain atau ada jemputan lain yang dirasakan perlu lebih diutamakan. Rasanya mama perlu lebih utamakan jemputan ahli keluarga dan saudara mara berbanding yang lain demi menjaga hati mereka. Bukanlah hati rakan yang menjemput tidak perlu dijaga, tetapi ada ketikanya  kita terpaksa membuat pilihan kan. Kalau jalan sehala boleh juga diusahakan tapi jika dah bertentang arah petanya maka terpaksa jugalah mama membuat pilihan dengan hati yang berat.

Kedua, terlalu jauh. Kalau mama duduk di KL, jemputannya pula di Johor, tak mampu rasanya memenuhi undangan itu. Kalau cuti sekolah panjang mungkin boleh juga diusahakan tapi kalau hujung minggu biasanya, memang hanya ucapan maaf sahaja yang mampu dilafazkan.

Ketiga, masa yang tidak sesuai. Ada rakan yang membuat rumah terbuka pada sebelah malam waktu berkerja. Ada pula yang menjemput pada hari berkerja. Dengan keadaan kesihatan mama yang memang cepat letih memang tak dapatlah mama hadir. 

Selepas setiap kunjungan, mama tak lupa mendoakan tuan rumah  dan keluarga semoga sentiasa dirahmati Allah dan dimurahkan rezeki sepanjang hayat mereka. Semoga rezeki yang mereka kongsi bersama mama dan keluarga mama akan dilipatgandakan. Amin...


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...