PESAN EMAK,
Jangan meminta-minta sesama manusia,
Kelak kecewa dan merana,
Memintalah kepada Allah,
Lambat laun akan tertunai jua,
Kerana,
Hanya Allah Yang Maha Esa,
Tempat mengadu segala suka dan duka.










PESAN EMAK,
Biar orang buat kita,
Jangan kita buat orang,
Susah atau senang,
Jangan dibawa berperang,
Cahaya terang benderang,
Kelak tiba berselang-selang.





PESAN EMAK,
Jangan sesekali mendoakan keburukan untuk orang lain,
Kelak kita turut mendapat tempiasnya,
Biarlah diri kita tidak dimengerti,
Yang penting,
ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani.





PESAN EMAK,
Jika nak berharta,
Carilah sendiri,
Usahalah sendiri,
Nescaya tiada siapa,
Berani mencaci,
Atau mengeji,
Kerana,
Harta itu kita yang cari,
Bukan mak bapak dia yang beri.





PESAN EMAK,
Biar banyak rumah,
Jangan banyak serumah,
Kelak banyaklah nanah,
Yang bakal bercambah,
Jika tidak tabah,
Dan terus sahaja pasrah.
Maka jadilah diri,
Macam sampah,
Dihina dan dikeji,
Diumpat dan dicaci,
Tanpa peluang mempertahan diri,
Maka teruslah membawa diri,
Supaya harga diri,
Tidak terus dicemari.





PESAN EMAK,
Sentiasalah memaafkan diri sendiri,
Sentiasalah memaafkan orang lain,
Kerana,
Maaf itu pengubat jiwa yang lara,
Maaf itu penyembuh luka,
Maaf itu adalah untuk diri kita,
Bukan untuk orang lain,
Kerana,
Dengan meminta dan memberi maaf,
Kita dapat teruskan kehidupan.





PESAN EMAK,
Hormatilah keluarga mertua,
Melebihi keluarga sendiri,
Jangan sesekali melukai hati mereka,
Walau terpaksa melukai hati sendiri,
Kerana syurga suamimu di tapak kaki ibunya,
Ikutkan sahaja kehendak mereka,
Jika ada, beri,
Jika tiada, diam,
Jika dipanggil, pergi,
Jika dimarahi,
Iyakanlah sahaja,
Pandailah membawa diri,
Dan sedarlah diri.


PESAN EMAK,
Walau sebanyak mana dipendam kemarahan,
Jika tiada apa yang baik untuk dikata,
Kuncilah mulut dan berdiamlah diri.
Kerana,
Syurga suamimu di tapak kaki ibunya.



Terima kasih emak. SAYANG EMAK.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...